Seharu Biru Sehijau Ketenangan (Bahagian 2)

"Pantang Melayu di cabar !!", bentak Pak Long, bapa saudara Lebai Man yang mengetuai sidang perhimpunan satu parti 20 tahun lalu. Lebai Man duduk di sisi di panggil baca doa sahaja ketika itu. Majlis tamat, hadir berduyun sekumpulan penari dengan meriahnya, menanda temasya kecil kampung bakal bermula, sedikit demi sedikit sahutan penduduk kampung menggila sepenuh nafsu menari sekali bersama penari. Dari duduk bersahaja di kerusi plastik itu, bingkas bangun sekalian penduduk dengan godaan berhibur yang hadir tanpa dipaksa. Majlis meriah sekali dengan gelak tawa isi kampung yang tiada sudahnya.

Jiwa muda Lebai Man ketika itu tidak mampu dikawal dengan benak fikiran yang waras, ibarat tangan yang menahan ombak begitulah jiwa Lebai Man. Sabar Lebai Man sudah lama jauh pergi, ayahnya menari dengan janda muda kampung sebelah yang amat terkenal itu di kalangan 'ibu-ibu berlaki'. Ibunya membuntang mata melawan amarah di jiwa lantas tidak mahu kalah juga menari lagak orang muda bersama-sama pemuda parewa. Tatkala itu emosi Lebai Man tiada noktah, lagaknya mula berbuat sesuatu, wajahnya bengis dan penuh benci sekali akan peristiwa di sekelilingnya.


"Boooomm...!!!", letupan berlaku. "Pengganas? Terrorist !!!??", orang kampung berlari bertempiaran tidak cukup tanah dan cuba meloloskan diri tanpa arah tujuan. Saat yang mencemaskan telah menyebabkan seluruh kampung bingit dan saling tertanya apa yang telah berlaku. Dalam keadaan yang mencemaskan itu perlahan-perlahan sayup kedengaran sebuah teriakan yang semakin jelas penuh dengan kemarahan yang meluap semeluap api yang masih rakus menjamah seluruh dapur di belakang balai raya. Asap hitam berkepul-kepul terbang ke udara tanpa arah, sehitam dan semarak api itulah teriakan Lebai Man yang semakin jelas setelah berhentinya ledakan letupan yang kuat tadi. "Puas aku!, wahai ahli Neraka!!! Sedar apa yang kamu telah lakukan ini!!! Sia-sia aku doakan orang jahanam macam kamu semua ni!!! " jerit Lebai Man diiringi bunyi api yang sayup-sayup menjamah rangka dapur belakang balai raya itu.

"Ibu tolong adik!", tiba-tiba Lebai Man terhenti teriaknya dek teriakan kesakitan seorang kanak-kanak kecil. Jauh di hati Lebai Man tidak menyangka masih ada yang berhampiran di dapur balai raya. Di sangka awalnya semua berada di ruang majlis, rupanya ada anak kecil, habis lecur separuh mukanya di jilat api. Lebai Man menggigil ketakutan, budak kecil itu bukan siapa adik perumpuan angkatnya. Ibunya mejaganya kerana menginginkan seorang anak perempuan, penduduk kampung bertambah gamat."Long Man, tolong adik!", teriak adiknya memanggil Lebai Man. Runtun hati dan sayu melanda dalam diri Lebai Man melihat adik kesayangannnya yang cukup rapat dengan Lebai Man. Tatkala itu Lebai Man terpaku, lantas terus ingin memangku adik angkatnya yang kecil itu.

Belum sempat Lebai Man mahu menyentuh adiknya yang di sayangi itu, ayahnya terlebih dahulu menempelak Lebai Man. Ibunya menjerit penuh kemarahan bercampur kesedihan dan ketakutan dengan apa yang telah berlaku. Hati Lebai Man buntu dan semuanya hancur, Lebai Man mula sedar kesilapan besarnya itu. "Engkau gila Man!, nasib baik tiada yang mati!, tapi kau tengok adik kau sendiri jadi mangsa Man!", herdik Pak Long yang masih lagi tergamam dengan peristiwa tersebut. "Sanggup kau Man! Dasar anak derhaka, tak sedar di untung !!", marah Pak Ismail kepada anak jantannya itu sambil menahan sebak melihat anak angkatnya melecur. "Panggil ambulans!", cadang sebilangan orang kampung yang masih terpinga-pinga melihat apa yang telah berlaku. "Inilah orang agama pakai sahaja di kepalanya kopiah, serban. Aku dah kata pasti ada buruk rupa kau begini. Aku suruh kau biasa-biasa sahaja. Kau lihat datuk kau!! Mana pernah balik lagi dah, tinggalkan nenek kau tu dan mak macam ini, kau dengan datuk kau sama!!", tambah Mak Munah melihat anaknya yang mengimbau peristiwa pahit dalam hidup ibunya, leteran yang penuh emosi ini sedikit pun tidak difahami Lebai Man. Lebai Man hanya tunduk, Pak Long menggenggam tumbuk. Mahu sahaja buku lima itu singgah di wajah Lebai Man.

Peluh jantan di dahi Lebai Man mengalir tanpa henti, Lebai Man mula merasakan dunia ini kosong. Lebai Man terduduk mengenangkan nasib adiknya dan apa yang telah dilakukannya. Selepas beberapa minit, polis tiba di tempat kejadian. Lebai Man, di usung polis, kaki Lebai Man tidak bermaya untuk menggagahkan diri di atas muka bumi. Lebai Man mula merasa lemah dan kerdil. Lebai Man sedar, syaitan sedang gembira dengan setiap perilaku yang beliau lakukan.

Setelah beberapa minggu dan polis selesai menjalankan tanggungjawab, Lebai Man telah di sabitkan kesalahan oleh mahkamah atas tuduhan cubaan membunuh dan melakukan kerosakan harta benda awam serta di penjara selama 20 tahun. Gugur jantung Lebai Man mengenangkan nasib dan masa depannya dengan hukuman penjara 20 tahun itu. Lebai Man tatkala itu belum bernasib baik walaupun usianya masih ranum dan layak duduk di bawah kesalahan juvana tetapi nasib Lebai Man agak berat mahkamah tidak meletakkannya di bawah kesalahan juvana.


Di penjara itu dahulu, Lebai Man hilang dirinya. Hilang jatinya, hilang segala-galanya. Sudahlah ibu bapa tiada menyokong, setahun akidah Lebai Man rapuh. Dia merasakan tuhan tidak adil kepadanya. Ibubapa tiada pernah menyokong. Pernah terdetik di lubuk hati Lebai Man, dia merasakan dirinya ibarat anak angkat juga seperti adik perempuannya itu. Namun, pernah jua ibu saudaranya memaklumkan. Bencinya padanya itu bukan kerana anak angkat, tetapi memaklumi datuknya telah beri berkat pada Lebai Man, beri harapan pada cucunya seorang itu. 5 tahun lamanya di usia kecil semenjak lahir, Lebai Man di jaga baik datuknya di luar negara.

Lebai Man tidak mengerti apa-apa tetapi Lebai Man hanya mengerti hatinya hanya tenang dengan jiwa beragama ini. Ibunya hanya tahu anak kecil ini tidak dapat dibentuk dengan didikan ayahnya dan dirinya. Pernah sekali di waktu kecil, Lebai Man mahu menyimpan sekeping gambar atuk tetapi di temui ibunya habis satu rumah berantakan dengan kejadian itu. Ibunya sedar sejak kecil anaknya Lebai Man sering istiqamah melakukan apa di pesan datuknya. Ibunya tidak pernah seinci berganjak ke perubahan itu. Baginya anaknya sudah lama hilang semenjak pergi menjejak ke luar negara di jaga datuknya. Lebai Man juga tidak mengerti dendam apa dalam diri ibunya terhadapnya datuknya iaitu ayah ibunya sendiri. Bapa Lebai Man juga sering menyemai perasaan benci pada atuknya. Tetapi Lebai Man sayang atuknya, sayang juga pada ibu dan bapanya tetapi cukup benci dengan sifat ibu dan ayahnya.

Selama satu tahun Lebai Man tidak dapat melihat ruang ketuhanan dan amalan dunia di celah-celah geriji besi penjara. Namun segalanya berubah selepas satu tahun, segalanya berubah dipenjara itu. Sebelumnya, Lebai Man tiada beza dengan insan di penjara besi itu. Semua dilihat buruk sahaja, bertambah buruk Lebai Man melihat dirinya sendiri. Tetapi sejak di pindahkan ke penjara pusat, Lebai Man bertemu dengan seorang yang seharusnya di temui. Seluruh warga penjara sebelum itu kecoh akan pesalah baru yang bakal dipindahkan ke Penjara Perdu yang terkenal di negara itu.

Katanya sesuku hidupnya di Kem Kemuntangkak itu. Entah dosa apa langsung tidak diketahui, di tangkap di bicara atas tuduhan mengancam keselamatan negara kerana peristiwa di Bukit Cemenggol itu. Peristiwa Memaling? Entahlah, begitulah bunyinya tak pernah tercatat dalam sejarah negara Malayzia. Anak muda mana tahu. Sejarah hanya di tulis si pemenang. Bukti? tiada. Prosiding Mahkamah ? tiada. Bicara? tiada. Peguam? usah bertanya. Begitulah jawapan pegawai penjara kepada Lebai Man ketika bertanya kepada pegawai penjara akan rakan baru di bilik penjaranya itu.

"Anak muda, orang muda, jiwa muda, biarlah di dada kamu penuh di dada, minda dan akal matang tatkala berbicara. Membungkam bicara si jiwa gundah gulana, jauh tuhan darinya, atas bicara kita jualah yang mendekatkan mereka pada-Nya"

"Apa kamu dah lupa ujian tuhan anak muda? Geriji besi itu telah menumpaskan kamu setelah syaitan juga berjaya tumpaskan kamu setahun lalu?"

Terkasima, Lebai Man dengan perkongsian kisah masing-masing sewaktu di awal pengenalan dengan rakan baru di penjara itu. "Tuhan telah menegurku melaluinya", bisik hati Lebai Man setelah lama tidak lagi melihat tuhan itulah sebesar perkara. Tanpa di pinta Lebai Man mengalirkan air mata. Wajah lelaki yang hanya di kenali Pak Ya itu merenung jauh ke dalam hati Lebai Man. Bagai dia tahu apa masalah Lebai Man ketika itu. Pak Ya hanya tersenyum fizikalnya dan sikapnya tidak pernah membuktikan penjara ini adalah halangan dirinya dengan Allah swt. Lebai Man teringat seluruh kalam suci Allah swt akan makna sebenar UJIAN dalam kehidupan ini.

Sambil menahan sebak, Lebai Man perlahan mengambil wudhuk, warden penjara hanya menjeling melihat setiap inci gerak Lebai Man. Sepanjang pengenalan warden dengan Lebai Man dia tidak tahu Lebai Man masih ada sisa ilmu agama. Dia hanya mengetahu Lebai Man hanyalah remaja bermasalah. Perlahan Lebai Man mengungkap potongan suci kalamullah sambil menangis teresak-esak ;

(iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata : “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali” (Surah al Baqarah : 156)


sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang –orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); (Surah Muhammad : 31)
Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang –orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu. (Surah Muhammad : 31)

Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya (Surah al Mulk : 2)

Begitu banyak sekali ungkapan kalam suci Allah swt yang keluar dari hati Lebai Man terus ke bibirnya. Warden penjara mula sedar Lebai Man ini ada kisahnya. Tangisannya tiada henti. Solat sunat taubat lantas didirikan. Lelaki yang telah merungkai jiwa Lebai Man senyum melihat perilaku Lebai Man. Warden di luar penjara tidak menoleh mahupun menjeling melainkan memandang terus wajah redup lelaki itu. Warden itu tidak mengerti apa yang berlaku. Peristiwa ini membuka cerita seluas-luasnya kepada pihak pentadbiran penjara. Ada yang kagum dengan perubahan awal di bawa lelaki se abad itu, ada juga tidak senang dengan perkara ini, kerana bakal merubah lanskap bumi pemikiran dan kesan pemikiran di kalangan pegawai penjara itu sendiri. Pemikiran apa? Politik? Ekonomi? Pendidikan?.

Lebai Man tidak berhenti menangis, namun perlahan-perlahan lelaki se abad yang di kenali Pak Ya itu membisik sesuatu "Rasulullah saw sayang kamu anak muda" ; ingatlah sabda nabi :
“Apabila Allah SWT menyayangi sesuatu kaum itu, Allah akan menguji mereka” (Jami' as Saghir : 354)

Kamulah di sayangi Allah swt itu anak muda. Mata Lebai Man berkaca lagi. Gelombang kaca itu lerai mengalir ke pipi menjamah setiap inci dosa lalu di wajahnya. Air mata taubat itu benar-benar memilukan. Cukup banyak aliran ranjau berduri dalam diri Lebai Man, tetapi Lebai Man memahami lelaki yang berdahi luas berdahi hitam penuh tanda sujud di hadapannya telah melalui ranjau perjuangan kehidupan lebih dasyat lagi. Namun ia kuat sekali, wajah lelaki itu sudah cukup menceritakan segala kekuatan dalam dirinya... bersambung

Qiyamullail Kunci Segala Hari Rahsia Para Ahli Ibadat



Bismillahirrahmanirrahim..

Terdapat kemusykilan serta kesungguhan terhadap satu persoalan dalam masyarakat yang benar ingin melakukan ibadat, tatkala hati mula merasakan dunia ini tidak memberi apa-apa melainkan jasadiyah gemuk semakin gemuk, selera makin berselera lantaran terlupa dosa pahala. Namun, begitu terdapat segelintir manusia yang mempunyai sudutan ataupun pengalaman berbeza maka ia boleh datang kesedaran atau keinginan tapi suasana menghalang, pasti tertanya dalam benak minda dan hati, apa bicara pada kali ini. Banyak persoalan berbeza, penulis cuba menulis seringkas mungkin agar niat penyoal yang tergerak rasa hati ingin berubah yang mula berpindah ke bibir (kalam), moga-moga tidak tersekat di hujung ibadahnya.

Persoalan 1 : Assalamualaikum Ustaz saya ingin bertanya bagaimana saya nak lakukan solat malam tapi payah bangunnya.... (orang pencen)

Persoalan 2 : Assalamualaikum ustaz, saya hendak bangun malam tapi waktu tidur saya selalu lewat dan kadangkala bila saya cuba bangun malam solat Qiyam menyebabkan prestasi kerja merosot dan mudah tertidur ( orang berkomitmen dengan kerjaya).

Persoalan ini pada hakikatnya adalah kupasan ringkas yang mudah, dan tidak berkait dengan apa-apa hukum halal, haram mahupun makruh. Persoalan ini mudah dan tidak perlu dipayahkan kerana hakikatnya hukum Qiyamulail itu sunat pada fiqhnya. Tetapi ada di situ keberatan dalam Islam meletakkan tingginya nilai Qiyamulail dalam kehidupan manusia, kupasan dari sudut tasawuf dan pembinaan ruh Islam dalam jiwa-jiwa manusia cukup tinggi kisahnya apabila sorotan sejarah Qiyamulail di ambil kira.

Menelurusi sumber utama kitabullah dan hadis-hadis, begitu banyak penceritaan diberikan kelebihan kepada pengamal Qiyamulail.

Melalui dalil Al-Quran :


“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata, sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan”. (QS As-Sajadah: 16)

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada di dalam taman-taman syurga dan di mata-mataair, sambil mengambil apa yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik, mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan di akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah)”. (QS Adz-Zariyat:15-18)

“(Apakah kamu hai orang-orang musyrik yang lebih beruntung)? Ataukah orang yang beribadat di waktu malam dengan sujud dan berdiri sedang ia takut kepada azab akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah; Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakal yang dapat menerima pelajaran”. (QS Az-Zumar: 9)

Antara hadith yang terkenal berkaitan mengenai Qiyamulail iaitu :

Dari Jabir r.a., ia barkata, “Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya pada malam hari itu benar-benar ada saat yang seorang muslim dapat menepatinya untuk memohon kepada Allah suatu kebaikan dunia dan akhirat, pasti Allah akan memberikannya (mengabulkannya); dan itu setiap malam.” (HR. Muslim dan Ahmad)

Rasulullah s.a.w bersabda; “Semulia-mulia solat setelah solat fardhu ialah solat tahajjud di tengah malam”. (HR Muslim)

Dari Abu Umamah, dia berkata; “Ya Rasulullah, manakah doa yang paling diterima? Rasulullah menjawab; Tengah malam yang akhir (dinihari) dan sesudah solat fardhu”. (HR At-Tirmidzi).

Melihat kepada beberapa dalil yang tertinggi dalam konteks kehidupan muslim. Inilah pokoknya, inilah akarnya. Manusia jika ia berusaha secara luarbiasa. Luarbiasalah amalan dan akalnya. Penulis tidak mahu menulis fadhilat mahupun cerita yang biasa kita dengar tentang apa kelebihan atau galakkan tetapi penulis lebih tertarik menggarapkan suatu cara yang berbeda agar cuba ia direalisasikan dalam amalan kehidupan semasa yang mencabar.

PERUNGKAIAN POKOK PERSOALAN

Masyarakat muslim selalu dimomokkan kemampuan ibadah bangun malam ini hanya kemampuan bagi mereka yang begitu 'alim dan kemampuan untuk mereka yang orang awam adalah jauh sekali. Qiyamulail pada konteks pandangan mereka hanya orang yang mampu menunaikan solat cukup 5 waktu sehari dan pelbagai alasan dan dinding penghalang diletakkan dalam menjauhkan lagi bayang-bayang yang tidak pernah wujud itu untuk memastikan kejayaan bangun malam yang penuh dengan hikmah dan luarbiasanya dalam kehidupan muslimitu tidak di amalkan saban hari.

Antara perungkaian soalan-soalan sebelum ini dapat dinyatakan mudah disini. Pembinaan sunat ini bermula dari kuatnya asas amalan wajib dalam kehidupan. Amalan wajib seperti solat 5 waktu, berpuasa, zakat, dan lain-lain memiliki satu kunci yang menjadi pendorong dalam melaksanakan ibadah sunat terutama qiyamullail ini. Nilai yang wujud dalam amalan ibadat wajib Islam hakikatnya yang utama adalah persoalan nilai KONSISTEN. Sejak mencapai usia baligh dan sebelum baligh Islam dengan jelas telas membentuk konsisten di situ. Kanak-kanak yang belum baligh di ajar untuk menunaikan solat ketika usia 10 tahun andai tidak dilakukan maka sebat adalah jawapannya.

Apakah yang terkandung dalam rahsia pensyariatan sedemikian? Kenapa tidak sahaja anak itu tatkala baligh barulah ia bermula solat wajib cukup 5 waktu. Di sinilah perlu kita rungkaikan dengan secermat mungkin. Penulis melihat di sinilah pokok konsisten atau istilah masyarakat "biar dia biasa buat".

Tidakkah kita merasa pelik muslim yang cukup asas fardhu 'ain nya merasakan tiada apa-apa yang menimbulkan masalah kesan harian menunaikan solat 5 waktu, namun ia mudah terasa semacam andai tidak melaksanakan mengikut waktunya.



LATIHAN KONSISTENSI

Di sinilah penulis melihat apa itu ibadat dan kenapa ahlul ibadat berasa tidak senang setiap kali amalan mereka tertinggal. Ibarat orang bersenam yang membina otot, saban hari selepas pulang kerja, ada sahaja lapang waktunya sama ada setengah jam atau sejam itu dibiasakan mereka bersenam membina otot atau apa sahaja aktiviti. Malahan kalau orang yang biasa bersukan di petang hari mahupun di pagi hari merasakan badan dan naluri mereka terganggu jika aktiviti itu tidak dijalanlan apabila tertinggal.

Mulakan ibadah qiyamullail mu dengan seringkas dan sekecil mungkin ibadahnya.Sama ada orang yang tiada halangan waktu harian mereka akibat tabiat tidur mereka yang kuat seperti payah bangun atau sebagainya. Ataupun yang boleh bangun tetapi sibuk dengan kerja harian. Mulakan dengan sekecil amalan kemudian menambahkan ia sedikit demi sedikit.

Biarkan hidupmu di mesinkan untuk bangun awal solat subuh sebelum masuk solatnya. Keraskan diri mu bangun setengah jam atau sejam sebelumnya. Walaupun ketika ini nikmat qiyamullail tidak senikmat qiyamullail bangun di separuh malam, buka mindamu untuk membersihkan diri dan mulakan solat Tahajjud 2 rakaat dan Witir 1 rakaat sebagai latihan kanak-kanak yang paling awal. Inilah tatih bayi kecil agar ia biar biasa buat setiap hari.

Jangan perleceh, mungkin ada yang mengatakan perkara ini mungkin sekadar 5 minit ke 10 minit boleh selesai. Tetapi ia cukup untuk kita mendapat pahala Qiyamullail. Dan kita tidak mengetahui nilai pahala mereka yang bangun Qiyamullail yang mana lebih diterima Allah swt. Wallahu'alam, mungkin jika Allah swt melihat ibadat kita yang sedikit itu lebih diterima alang ruginya jika kita walau solat malam pada 3 pagi sekalipun tetapi sekali sekala sahaja.

Titik utama yang penulis cuba jelaskan disini, biar sedikit tetapi konsisten. Ibadat qiyamullail pada pandangan penulis adalah ibadah fizikal dan mental. Ahli sukan membina stamina hasil konsisten yang dilakukan sehingga melihat apa sahaja halangan untuk mencapai kejayaan dalam bidang tersebut bukan lagi halangan. Begitulah juga ibadat ini. Bermula dengan senaman ringan kita berkembang dengan senaman yang lebih berat. Tetapi nilai utama adalah konsisten dalam ibadat. Alangkah bahagia hidupnya dengan terbina slot harian kita di malam hari dengan kebiasaan sedikit tidurnya tetapi di penuhi dengan ibadah.

Persoalan inilah yang merungkaikan kita masyarakat muslim yang sering sukar atau mengadu melaksanakan ibadah qiyamullail atas kapasiti mereka yang hanya bangun pada malam tertentu dan berjaga separuh malam dengan fizikal jasmani dan rohani mereka yang sesekalipun tidak biasa dengan situasi tersebut menyebabkan malam-malam seperti Nisfu Syaaban, Lailatul Qadar, Malam Jumaat atau seumpamanya dilihat berat bahu memikulnya dan menyebabkan di siang harinya muslim adalah dilihat insan terlemah di muka bumi ini. Maka persoalan di atas terjawab punca-punca situasi bila mana minda dan jasad tidak dibiasakan ataupun di konsistensikan.

Setelah pembinaan proses itu berlaku hari demi hari dan terbina juga fizikal dan rohani kita merasakan bangun pagi adalah pukul 6 pagi berubah ke pukul 4 pagi maka itulah adalah bangun pada waktu pagi bagi mereka, "mind set" telah di tukar. Tanpa ada alarm mahupun loceng setiap inci saluran darah dan saraf-saraf neuron mereka telah memberikan isyarat pada tubuh dan minda mereka akan situasi amalan kebiasaan. Ketika ini mereka baru sedar, INILAH APA YANG DINAMAKAN ISTIQAMAH.



WAJAH-WAJAH QIYAMULLAIL

Bagi orang bersenam, kesan pada hari-hari mereka fizikal atau tubuh mereka semakin sasa dan sihat dan cergas, malah kemapuan kerja mereka lebih tangkas. Bagi minda yang sering menghafal dan mengira saban hari, kecekapan minda mereka pantas dan kecerdikan dalam sesuatu urusan menunjukkan kematangan mereka.

Bagaimana wajah orang Qiyamullail ?. Melihat kepada pemerhatian penulis yang lemah ini. Kebanyakan mereka yang beribadat qiyamullail ada senjata yang tidak nampak pada diri mereka sehingga senjata itu menggugat hati-hati mereka yang ingkar kepada Allah swt.

Ahli haraki melihat qiyamullail adalah senjata bagi mereka yang memilih jalan Allah swt ini sebagai keperluan jalan untuk menerobos idea muslim. Manusia yang sering berqiyamullail sering memaparkan akhlak indah dek ketenangan yang dirasai mereka dan pengaliran darah yang lancar dalam tubuh mereka sehingga minda mereka cerdas dalam memperkata sesuatu perkara. Setiap tutur bicara mereka bermakna. Bakat mereka semakin dipertonjol. Malahan ahlul qiyamullail yang konsisten sebagaimana penulis melihat pada sehabat perjuangan yang dikenali adalah mereka yang mampu melakukan perkara luarbiasa yang bukan manusia lain mampu lakukan, motivasi dalam diri mereka besar sekali, pidato mereka luar biasa sekali, jiwanya besar dan bugar sekali.

Mereka adalah golongan yang mampu menggerakkan masyarakat. Masyarakat hormat kepada mereka. Siapa tidak kenal kepada Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna. Sebut tentang beliau, akhlak beliau, pengaruh ikhwan dalam diri beliau telah mengubah masyarakat. Malahan kerajaan sekular di Mesir tidak mampu membendung idea gerakan Islam yang ibarat singa yang pantas menerkam melakasanakan tanggungjawab sebagai raja di hutan begitulah umat manusia sebagai khalifah di bumi Allah ini di bumi Mesir suatu ketika dahulu. Beliau tidur malamnya tidak sampai 4 jam, konsisten beliau kepada ibadah qiyamullail, bahkan prestasi gerak haraki beliau disiang hari tidak pernah terjejas walau sedikit pun. Malah musuh Islam gentar dengan senjata rahsia yang dimiliki As-Syahid Al-Imam Hassan Al-Banna itu, itulah qiyamullail.

Mensoroti sejarah Islam, tatkala perang Salib belum bermula, golongan yang memilih jalan qiyamullail telah menjadi pilihan Salahuddin Al-Ayubi untuk menjamin kemenangan tentera-tentera muslim ke atas golongan kuffar. Salahuddin Al-Ayubi adalah antar golongan yang sedar dan menikmati nikmat qiyamullail. Umar Al-Khattab yang berjiwa besar telah mengubah dominasi pemikiran dunia Arab dengan doktrin pemerintahan dan pentadbiran lebih cekap kesan istiqamah ibadahnya di malam hari begitulah juga para sahabat terdahulu dan tabi'n dan tabi' tabi'in yang telah melalui jalan kehidupan dengan pengisian qiyamullail dalam roh-roh mereka.

NIKMAT INI ADALAH NIKMAT MEREKA YANG MENGAMALKANNYA.
MOGA ALLAH SWT MEMBERI NIKMAT INI KEPADA KITA.

get this widget here