Seharu Biru Sehijau Ketenangan (Bahagian 2)

Posted by Farhan Ahmad Tuesday, November 10, 2009
"Pantang Melayu di cabar !!", bentak Pak Long, bapa saudara Lebai Man yang mengetuai sidang perhimpunan satu parti 20 tahun lalu. Lebai Man duduk di sisi di panggil baca doa sahaja ketika itu. Majlis tamat, hadir berduyun sekumpulan penari dengan meriahnya, menanda temasya kecil kampung bakal bermula, sedikit demi sedikit sahutan penduduk kampung menggila sepenuh nafsu menari sekali bersama penari. Dari duduk bersahaja di kerusi plastik itu, bingkas bangun sekalian penduduk dengan godaan berhibur yang hadir tanpa dipaksa. Majlis meriah sekali dengan gelak tawa isi kampung yang tiada sudahnya.

Jiwa muda Lebai Man ketika itu tidak mampu dikawal dengan benak fikiran yang waras, ibarat tangan yang menahan ombak begitulah jiwa Lebai Man. Sabar Lebai Man sudah lama jauh pergi, ayahnya menari dengan janda muda kampung sebelah yang amat terkenal itu di kalangan 'ibu-ibu berlaki'. Ibunya membuntang mata melawan amarah di jiwa lantas tidak mahu kalah juga menari lagak orang muda bersama-sama pemuda parewa. Tatkala itu emosi Lebai Man tiada noktah, lagaknya mula berbuat sesuatu, wajahnya bengis dan penuh benci sekali akan peristiwa di sekelilingnya.


"Boooomm...!!!", letupan berlaku. "Pengganas? Terrorist !!!??", orang kampung berlari bertempiaran tidak cukup tanah dan cuba meloloskan diri tanpa arah tujuan. Saat yang mencemaskan telah menyebabkan seluruh kampung bingit dan saling tertanya apa yang telah berlaku. Dalam keadaan yang mencemaskan itu perlahan-perlahan sayup kedengaran sebuah teriakan yang semakin jelas penuh dengan kemarahan yang meluap semeluap api yang masih rakus menjamah seluruh dapur di belakang balai raya. Asap hitam berkepul-kepul terbang ke udara tanpa arah, sehitam dan semarak api itulah teriakan Lebai Man yang semakin jelas setelah berhentinya ledakan letupan yang kuat tadi. "Puas aku!, wahai ahli Neraka!!! Sedar apa yang kamu telah lakukan ini!!! Sia-sia aku doakan orang jahanam macam kamu semua ni!!! " jerit Lebai Man diiringi bunyi api yang sayup-sayup menjamah rangka dapur belakang balai raya itu.

"Ibu tolong adik!", tiba-tiba Lebai Man terhenti teriaknya dek teriakan kesakitan seorang kanak-kanak kecil. Jauh di hati Lebai Man tidak menyangka masih ada yang berhampiran di dapur balai raya. Di sangka awalnya semua berada di ruang majlis, rupanya ada anak kecil, habis lecur separuh mukanya di jilat api. Lebai Man menggigil ketakutan, budak kecil itu bukan siapa adik perumpuan angkatnya. Ibunya mejaganya kerana menginginkan seorang anak perempuan, penduduk kampung bertambah gamat."Long Man, tolong adik!", teriak adiknya memanggil Lebai Man. Runtun hati dan sayu melanda dalam diri Lebai Man melihat adik kesayangannnya yang cukup rapat dengan Lebai Man. Tatkala itu Lebai Man terpaku, lantas terus ingin memangku adik angkatnya yang kecil itu.

Belum sempat Lebai Man mahu menyentuh adiknya yang di sayangi itu, ayahnya terlebih dahulu menempelak Lebai Man. Ibunya menjerit penuh kemarahan bercampur kesedihan dan ketakutan dengan apa yang telah berlaku. Hati Lebai Man buntu dan semuanya hancur, Lebai Man mula sedar kesilapan besarnya itu. "Engkau gila Man!, nasib baik tiada yang mati!, tapi kau tengok adik kau sendiri jadi mangsa Man!", herdik Pak Long yang masih lagi tergamam dengan peristiwa tersebut. "Sanggup kau Man! Dasar anak derhaka, tak sedar di untung !!", marah Pak Ismail kepada anak jantannya itu sambil menahan sebak melihat anak angkatnya melecur. "Panggil ambulans!", cadang sebilangan orang kampung yang masih terpinga-pinga melihat apa yang telah berlaku. "Inilah orang agama pakai sahaja di kepalanya kopiah, serban. Aku dah kata pasti ada buruk rupa kau begini. Aku suruh kau biasa-biasa sahaja. Kau lihat datuk kau!! Mana pernah balik lagi dah, tinggalkan nenek kau tu dan mak macam ini, kau dengan datuk kau sama!!", tambah Mak Munah melihat anaknya yang mengimbau peristiwa pahit dalam hidup ibunya, leteran yang penuh emosi ini sedikit pun tidak difahami Lebai Man. Lebai Man hanya tunduk, Pak Long menggenggam tumbuk. Mahu sahaja buku lima itu singgah di wajah Lebai Man.

Peluh jantan di dahi Lebai Man mengalir tanpa henti, Lebai Man mula merasakan dunia ini kosong. Lebai Man terduduk mengenangkan nasib adiknya dan apa yang telah dilakukannya. Selepas beberapa minit, polis tiba di tempat kejadian. Lebai Man, di usung polis, kaki Lebai Man tidak bermaya untuk menggagahkan diri di atas muka bumi. Lebai Man mula merasa lemah dan kerdil. Lebai Man sedar, syaitan sedang gembira dengan setiap perilaku yang beliau lakukan.

Setelah beberapa minggu dan polis selesai menjalankan tanggungjawab, Lebai Man telah di sabitkan kesalahan oleh mahkamah atas tuduhan cubaan membunuh dan melakukan kerosakan harta benda awam serta di penjara selama 20 tahun. Gugur jantung Lebai Man mengenangkan nasib dan masa depannya dengan hukuman penjara 20 tahun itu. Lebai Man tatkala itu belum bernasib baik walaupun usianya masih ranum dan layak duduk di bawah kesalahan juvana tetapi nasib Lebai Man agak berat mahkamah tidak meletakkannya di bawah kesalahan juvana.


Di penjara itu dahulu, Lebai Man hilang dirinya. Hilang jatinya, hilang segala-galanya. Sudahlah ibu bapa tiada menyokong, setahun akidah Lebai Man rapuh. Dia merasakan tuhan tidak adil kepadanya. Ibubapa tiada pernah menyokong. Pernah terdetik di lubuk hati Lebai Man, dia merasakan dirinya ibarat anak angkat juga seperti adik perempuannya itu. Namun, pernah jua ibu saudaranya memaklumkan. Bencinya padanya itu bukan kerana anak angkat, tetapi memaklumi datuknya telah beri berkat pada Lebai Man, beri harapan pada cucunya seorang itu. 5 tahun lamanya di usia kecil semenjak lahir, Lebai Man di jaga baik datuknya di luar negara.

Lebai Man tidak mengerti apa-apa tetapi Lebai Man hanya mengerti hatinya hanya tenang dengan jiwa beragama ini. Ibunya hanya tahu anak kecil ini tidak dapat dibentuk dengan didikan ayahnya dan dirinya. Pernah sekali di waktu kecil, Lebai Man mahu menyimpan sekeping gambar atuk tetapi di temui ibunya habis satu rumah berantakan dengan kejadian itu. Ibunya sedar sejak kecil anaknya Lebai Man sering istiqamah melakukan apa di pesan datuknya. Ibunya tidak pernah seinci berganjak ke perubahan itu. Baginya anaknya sudah lama hilang semenjak pergi menjejak ke luar negara di jaga datuknya. Lebai Man juga tidak mengerti dendam apa dalam diri ibunya terhadapnya datuknya iaitu ayah ibunya sendiri. Bapa Lebai Man juga sering menyemai perasaan benci pada atuknya. Tetapi Lebai Man sayang atuknya, sayang juga pada ibu dan bapanya tetapi cukup benci dengan sifat ibu dan ayahnya.

Selama satu tahun Lebai Man tidak dapat melihat ruang ketuhanan dan amalan dunia di celah-celah geriji besi penjara. Namun segalanya berubah selepas satu tahun, segalanya berubah dipenjara itu. Sebelumnya, Lebai Man tiada beza dengan insan di penjara besi itu. Semua dilihat buruk sahaja, bertambah buruk Lebai Man melihat dirinya sendiri. Tetapi sejak di pindahkan ke penjara pusat, Lebai Man bertemu dengan seorang yang seharusnya di temui. Seluruh warga penjara sebelum itu kecoh akan pesalah baru yang bakal dipindahkan ke Penjara Perdu yang terkenal di negara itu.

Katanya sesuku hidupnya di Kem Kemuntangkak itu. Entah dosa apa langsung tidak diketahui, di tangkap di bicara atas tuduhan mengancam keselamatan negara kerana peristiwa di Bukit Cemenggol itu. Peristiwa Memaling? Entahlah, begitulah bunyinya tak pernah tercatat dalam sejarah negara Malayzia. Anak muda mana tahu. Sejarah hanya di tulis si pemenang. Bukti? tiada. Prosiding Mahkamah ? tiada. Bicara? tiada. Peguam? usah bertanya. Begitulah jawapan pegawai penjara kepada Lebai Man ketika bertanya kepada pegawai penjara akan rakan baru di bilik penjaranya itu.

"Anak muda, orang muda, jiwa muda, biarlah di dada kamu penuh di dada, minda dan akal matang tatkala berbicara. Membungkam bicara si jiwa gundah gulana, jauh tuhan darinya, atas bicara kita jualah yang mendekatkan mereka pada-Nya"

"Apa kamu dah lupa ujian tuhan anak muda? Geriji besi itu telah menumpaskan kamu setelah syaitan juga berjaya tumpaskan kamu setahun lalu?"

Terkasima, Lebai Man dengan perkongsian kisah masing-masing sewaktu di awal pengenalan dengan rakan baru di penjara itu. "Tuhan telah menegurku melaluinya", bisik hati Lebai Man setelah lama tidak lagi melihat tuhan itulah sebesar perkara. Tanpa di pinta Lebai Man mengalirkan air mata. Wajah lelaki yang hanya di kenali Pak Ya itu merenung jauh ke dalam hati Lebai Man. Bagai dia tahu apa masalah Lebai Man ketika itu. Pak Ya hanya tersenyum fizikalnya dan sikapnya tidak pernah membuktikan penjara ini adalah halangan dirinya dengan Allah swt. Lebai Man teringat seluruh kalam suci Allah swt akan makna sebenar UJIAN dalam kehidupan ini.

Sambil menahan sebak, Lebai Man perlahan mengambil wudhuk, warden penjara hanya menjeling melihat setiap inci gerak Lebai Man. Sepanjang pengenalan warden dengan Lebai Man dia tidak tahu Lebai Man masih ada sisa ilmu agama. Dia hanya mengetahu Lebai Man hanyalah remaja bermasalah. Perlahan Lebai Man mengungkap potongan suci kalamullah sambil menangis teresak-esak ;

(iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata : “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali” (Surah al Baqarah : 156)


sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang –orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); (Surah Muhammad : 31)
Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang –orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu. (Surah Muhammad : 31)

Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya (Surah al Mulk : 2)

Begitu banyak sekali ungkapan kalam suci Allah swt yang keluar dari hati Lebai Man terus ke bibirnya. Warden penjara mula sedar Lebai Man ini ada kisahnya. Tangisannya tiada henti. Solat sunat taubat lantas didirikan. Lelaki yang telah merungkai jiwa Lebai Man senyum melihat perilaku Lebai Man. Warden di luar penjara tidak menoleh mahupun menjeling melainkan memandang terus wajah redup lelaki itu. Warden itu tidak mengerti apa yang berlaku. Peristiwa ini membuka cerita seluas-luasnya kepada pihak pentadbiran penjara. Ada yang kagum dengan perubahan awal di bawa lelaki se abad itu, ada juga tidak senang dengan perkara ini, kerana bakal merubah lanskap bumi pemikiran dan kesan pemikiran di kalangan pegawai penjara itu sendiri. Pemikiran apa? Politik? Ekonomi? Pendidikan?.

Lebai Man tidak berhenti menangis, namun perlahan-perlahan lelaki se abad yang di kenali Pak Ya itu membisik sesuatu "Rasulullah saw sayang kamu anak muda" ; ingatlah sabda nabi :
“Apabila Allah SWT menyayangi sesuatu kaum itu, Allah akan menguji mereka” (Jami' as Saghir : 354)

Kamulah di sayangi Allah swt itu anak muda. Mata Lebai Man berkaca lagi. Gelombang kaca itu lerai mengalir ke pipi menjamah setiap inci dosa lalu di wajahnya. Air mata taubat itu benar-benar memilukan. Cukup banyak aliran ranjau berduri dalam diri Lebai Man, tetapi Lebai Man memahami lelaki yang berdahi luas berdahi hitam penuh tanda sujud di hadapannya telah melalui ranjau perjuangan kehidupan lebih dasyat lagi. Namun ia kuat sekali, wajah lelaki itu sudah cukup menceritakan segala kekuatan dalam dirinya... bersambung

0 comments:

Post a Comment

get this widget here